Followers

About Me

My Photo

A fully housewife for a man named Gabril and A Mother of a daughter Leona,
A kampung girl that grow up in a rural kampung in sabah and now I am currently living here Jungle of Rocks (Kuala Lumpur)

Thursday, December 29, 2011

SISTEM PANGGILAN KELUARGA MELAYU

1.0 Pengenalan
Setiap masyarakat pasti mempunyai cara memanggil dan menyapa untuk berinteraksi dengan individu lain. Cara tersebut dapat diklasifikasikan sebagai ‘sistem panggilan’ yang merujuk kepada penggunaan kata ganti nama seseorang. Sistem panggilan tersebut memiliki pola dan tatacara tersendiri. Collins (1996) menyatakan bahawa “ fenomena yang berkaitan dengan kata panggilan dan kepentingan berbahasa bukan sahaja wujud dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam kalangan semua bahasa di dunia.” Pola ataupun tatacara panggilan tersebut boleh didapati dalam bentuk kompleks ataupun mudah dengan amalan dan tatacara yang tersendiri. Dalam konteks keluarga pula, bagi masyrakat malaysia, khususnya Melayu, panggillan dalam keluarga telh wujud sekian lama. Panggilan tersebut dicipta oleh nenek moyang mereka dan diperturunkan generasi demi generasi. Walau bagaimanapun, perbezaan susun lapis sistem sosial masyarakat dan kepelbagaian negeri yang ada telah menyebabkan variasi dalam penggunaan kata panggilan.

Walaupun demikian, pemilihan sistem panggilan yang akan digunakan dalam sesebuah keluarga tidaklah tegar dan mesti. Biasanya sistem panggilan dalam sesebuah keluarga akan ditentukan dan dimulakan oleh ibu bapa. Sistem yang diamalkan dalam sesebuah keluarga bertujuan untuk membezakan setiap individu, urutan anak, iaitu yang tua, yang tengah atau yang paling kecil. Selain itu, sistem panggilan yang diamalkan dalam sesebuah keluarga secara tidak langsung memupuk perasaan hormat yang lebih muda kepada yang lebih tua. Sebaliknya, anggota keluarga yang lebih tua akan berasa lebih bertanggungjawab kepada yang muda dan secara langsung hal ini menyisihkan perasaan kurang ajar dan tidak hormat dalam kalangan yang lebih muda kepada yang lebih tua daripada mereka.
Menyapa atau memanggil seseorang dengan nama asal khususnya didalam sesebuah intitusi keluarga dianggap perbuatan yang biadab. Berikutan itu, amalan memaanggil dengan panggilan khusus mampu memelihara keharmonian dalam sesebuah keluarga.
2.0 Pengaruh Pendidikan Dalam Sistem Panggilan Kekeluargaan Melayu
Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005), menyatakan bahawa secara umumnya, ibu bapa akan memilih dan menetapkan kata panggilan anak-anak untuk memanggil mereka. Panggilan tersebut ditetapkan bukan sahaja berguna sebagai kata panggilan tetapi juga sebagai tanda hormat anak-anak kepada ibu bapa mereka. Kajian yang dibuat oleh Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005), menyenaraikan 15 panggilan kepada ayah dan 10 panggilan kepada ibu mengikut variasi negeri yang ada di semenanjung Malaysia.
Semua jenis panggilan tersebut merupakan penanda yang diguna pakai untuk memanggil ibu dan bapa. Secara langsung kata panggilan tersebut menerangkan kepada anak-anak bahawa merekalah ( ibu bapa ) yang melahirkan mereka, mendidik mereka, menjaga mereka dan melengkapkan mereka sebagai seorang manusia. Walaupun demikian, menurut dokumentasiHasimah Jalaludin …[et al.] (2005), panggilan “Emak” bagi ibu dan panggilan “Ayah atau Bapa”bagi bapa merupakan panggillan tradisional digunakan oleh masyarakat sehingga kini. Panggilan berkekalan sehingga kini merentas waktu dan generasi tanpa mengira taraf pendidikan ibu bapa atau amnya masyarakat pada hari ini.
Pendidikan adalah suatu aspek yang berperanan penting sebagai agen perubahan dalam pelbagai sudut kehidupan manusia. Hal ini merangkumi status ekonomi, cara berfikir, cara bertindak, pendapat dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, salah satu indikator yang boleh digunakan dalam menganalisis penggunaan kata panggilan dalam masyarakat Melayu. Walaupun demikian, secara puratanya, panggilan “Ayah atau Abah” untuk bapa dan “Mak” untuk ibu masih diamalkan oleh generasi kini dan muncul dengan kekerapan yang tinggi dalam kajian yang dilakukan oleh Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005),dalam dokumentasi mereka yang dibukukan. Dialek kedaerahan turut ditemui dalam kajian mereka namun, kekerapan untuk panggilan tersebut muncul sedikit sahaja.
Sehubungan dengan itu, hal ini menunjukkan bahawa tiga panggilan tradisi ini mendapat tempat dalam carta pilihan ibu bapa masa kini tanpa mengira tahap pendidikan mereka. Hal ini berkaitan dengan ciri ketiga-tiga panggilan tersebut kedengaran lebih berkuasa, lebih menghormati, dan lebih akrab yang menunjukkan bahawa wujudnya hubungan yang intim diantara dua orang individu yang sedang berkomunikasi. “ Hormat itu bukanlan perbuatan mengampu. Itu adalah lakuan yang beradab mulia. Meninggikan orang dengan panggilan hormat itu adalah mulia. Merendahkan orang itu adalah biadab” Prof Emeritus Abdullah Hassan, 2010.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa tahap pendidikan yang diperolehi oleh orang-orang pada masa kini memberi impak kepada penggunaan istilah-istilah panggilan keluarga dalam segelintir masyarakat. Golongan masyarakat tersebut adalah mereka yang terdiri golongan yang telah menerima pakai pola baru dan asing dalam sistem panggilan keluarga mereka. Contohnya adalah istilah panggilan daripada bahasa Inggeris dan daripada bahasa Arab seperti Daddy, Papa, Walid, Abuya, dan Abi bagi pangillan untuk bapa. Umi dan Mummy pula adalah panggilan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat golongan ini. Positifnya, panggilan-panggilan ini telah menambahkan lagi khazanah kata panggilan untuk memanggil ibu dan bapa.
Pengaruh Inggeris dan Arab ini didapati banyak menyerap dan lebih jelas kedengaran khususnya bagi ibu bapa yang mendapat pendidikan tinggi. Ibu bapa yang mendapat pendidikan tinggi lebih terdedah kepada kepada pengaruh luar khususnya dari barat atau Arab berbanding dengan ibu bapa yang mendapat pendidikan tempatan. Ibu bapa yang mendapat pendidikan barat pula mula menyukai panggilan keinggerisan seperti Mummy, Mum dan Daddy untuk digunakan oleh anak-anak mereka ketika memanggil mereka. Ibu bapa yang terdiri dalam kalangan ini berpendapat , panggilan kebaratan melambangkan gaya panggilan kekeluargaan yang moden dan terkini. Walaupun pada hakikatnya ibu bapa dalam situasi ini memanggil kedua ibu bapa mereka dengan panggilan dalam bahasa Melayu, mereka tetap menerapkan panggilan bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai panggillan oleh anak-anak kepada mereka. Golongan ini sudah berubah dan mungkin mereka menganggap panggillan tradisi sudah lapuk dan ketinggalan zaman atau kekampungan.
Walaupun demikian, terdapat juga dalam kalangan ibu bapa masa kini yang tidak mendapat sebarang pendidikan Inggeris ataupun Arab mahu mengekalkan pendidikan yang dilihat di Arab dalam keluarga mereka lalu muncullah beberapa panggilan asing dalam sistem panggilan keluarga mereka. Terdapat juga dalam kalangan ibu bapa ini yang sekadar mengamalkan sistem panggilan seumpama ini kerana fenomena terpengaruh sama ada daripada orang lain mahupun kesan daripada media massa yang banyak berencana dengan mengaplikasikan panggilan-panggilan tersebut dalam terbitan mereka. Walau bagaimanapun panggilan-panggilan asing tersebut masih rendah kekerapannya digunakan berbanding dengan panggilan dominasi tradisi, namun harus disedari bahawa hal ini boleh memudaratkan amalan tradisi orang melayu. Secara langsung mendefinisikan bahawa amalan tradisi tersebut semakin terhakis daripada amalan orang Melayu. Sehubungan dengan hal itu masyarakat Melayu khususnya harus sedar dan memberi perhatian serius pada hal ini bagi mengelakkan perubahan yang besar suatu ketika nanti.
Walaupun pelbagai panggilan ditemui sebagai panggilan kepada bapa, namun panggilan kemelayuan seperti Ayah, Abah dan Mak masih muncul denagn kekerapan tertinggi sebagai cara anak menyapa ibu bapa mereka. Konotasi yang ada pada panggilan-panggilan jenis ini sebagai lambang warisan tradisional dan juga merupakan panggilan yang menyerlahkan nilai ‘kepatuhan dan kekuasaan.’ (Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] , 2005).
Responden hasil daripada kajian Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005) menunjukkan bahawa panggilan Ayah, Ayoh dan Abah adalah panggilan yang paling popular. Namun hasil dapatan daripada kajian mereka mendapati bahawa semakin responden terdedah kepada pendidikan Barat dan Arab yang lebih tinggi, semakin tinggi kecenderungan mereka untuk mengamalkan panggilan menurut Arab dan Barat. Tambahan lagi, pemilihan panggilan tersebut dipilih oleh responden sendiri. Pendidikan yang diterima mereka secara langsung membuat mereka memilih untuk dipanggil sebagai Mummy, Umi atau Mum dan sebagainya menurut pengaruh yang mereka serap walaupun mereka sendiri masih memanggil orang tua mereka dengan panggilan tradisional. Pola ini terus berubah selaras dengan tahap pendidikan yang diterima oleh ibu. Sebagai contoh perbandingannya, responden berlatar belakang pendidikan Sekolah Rendah memilih panggilan tradisional bagi anak-anak mereka memanggil mereka, tetapi berbeza dengan responden yang mendapat pendidikan lebih tinggi seperti peringkat Ijazah dan Master yang memilih adaptasi panggilan asing dalam keluarga mereka.
Umumnya, semua jenis panggilan yang digunakan, panggilan tersebut tetap mempunyai tujuan yang sama iaitu menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa. Pengaruh lain sperti dialek daerah dan fator agama Islam yang diserap masuk dalam cara menyapa ibu bapa juga tidak terkecuali sebagai salah satu cara menyampaikan rasa hormat kepada orang yang dipanggil iaitu ibu bapa. Buku tulisan Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005) membuktikan bahawa pendidikan memberikan impak yang besar kepada penggunaan panggillan dalam keluarga.
3.0 Faktor Umur Dan Panggilan Kepada Adik-Beradik
Umur juga merupakan salah satu indikator yang memperlihatkan variasi kata panggilan dalam sistem kekeluargaan Melayu. Empat tahap umur yang dijadikan sebaga medium untuk melihat perkaitan umur dengan jenis panggilan. Tahap-tahap tersebut adalah umur 16 tahun hingga 20 tahun, 21 tahun hingga 25 tahun, 26 tahun hingga 30 tahun, 31 tahun hingga 35 tahun dan 36 tahun hingga 40 tahun. Perhubungan diantara adik beradik ditentukan oleh faktor umur. Nik Safiah (1992) menyatakan bahawa “adik harus menghormati abang dan kakak dan yang tua pula diharapkan agar sentiasa menjaga keselamatan adiknya.” Kamus Dewan (1998) mentakrifkan adik beradik sebagai individu yang dilahirkan seayah dan seibu.
Panggilan Abang dan Kakak mendominasi jenis panggilan yang digunakan dalam sesebuah keluarga untuk semua peringkat umur. Ibu bapa lebih gemar menetapkan kata panggilan umum bagi adik-beradik dalam kalangan anak-anak mereka. Panggilan ini dikatakan ringkas, mudah untuk digunakan dan juga sama bagi semua anak mereka. Hasil analisis mendapati hanya panggilan Long bagi anak sulung dan panggilan Ngah bagi anak kedua yang ada digunakan, manakala panggilan urutan yang lain jarang ditemui.
Peringkat umur 31 tahun sehingga 40 tahun didapati lebih banyak mengamalkan panggilan tradisi berbandaing dengan peringkat umur 30 tahun kebawah. Hal ini berkait dengan faktor ibu bapa bagi mereka yang berumur 30 tahun ke atas adalah terdiri daripada ibu bapa yang telah lanjut usia dan dianggap masih berfikiran tradisional semasa memilih panggilan untuk adik-beradik dalam kalangan anak-anak mereka.
Secara signifikan, amalan menerapkan panggilan mengikut urutan ini mampu memberikan kesedaran kepada si anak perihal dirinya. Contohnya, panggilan Bang Long dan Kak Long oleh si adik secara langsung menterjemahkan pengertian bahawa si adik adalah anak yang lebih muda dan wajar menghormati orang yang lebih tua. Pada masa yang sama, hal ini turut menggambarkan kedudukan yang lebih tua kepada individu yang dipanggil dan wajar melindungi adiknya yang lebih muda. Ringkasnya, sistem panggilan tersebut menggambarkan peranan setiap adik-beradik diantara satu sama lain.
Golongan yang berumur 20 hingga 30 tahun pula digambarkan mempunyai ibu bapa yang berumur dalam lingkungan 40 tahun dan keatas. Lingkungan umur tersebut dapat ditafsirkan sebagai golongan yang bekerja, lingkungan umur yang mulai berfikiran terbuka dan menggunakan banyak amalan yang berciri moden dalam kehidupan mereka seharian. Kini, pemilihan sistem panggilan adik beradik telah turut menjadi longgar dalam kalangan ibu bapa bekerja. Pelbagai pendedahan pendidikan dan kehidupan membuatkan mereka semakin mudah menerima pakai perkara yang dikatakan ringkas dan umum. Anak yang tua hanya dirujuk sebagai abang atau kakak disertau dengan penggunaan panggilan Abang (+ nama) dan begitu juga dengan panggilan yang lain. Panggilan ini digunakan sekadar membezakan si adik dengan si abang atau si kakak dan bukannya menterjemahkan urutan adik beradik dalam kalangan anak-anak.
Seterusnya, bagi lingkungan umur 16 hingga 20 tahun pula dilihat kerap menggunakan kata panggilan umum kepada adik beradik. Ibu bapa bagi lingkungan umur ini juga dilihat tidak kisah dengan sistem panggilan tradisi orang Melayu. Bagi mereka, hal yang terpenting adalah anak-anak mereka mempunyai rasa hormat kepada yang adik-beradik yang lebih tua.
Situasi ini juga turt dikaitkan dengan bilangan anak para ibu bapa pada masa kini yang kebanyakannya hanya memiliki maksimum tiga orang anak. Hal ini menyebabkan pengamalan panggilan tradisi yang ada untuk diamalkan hanya setakat Long, Ngah dan Su. Namun kekerapan panggilan ini adalah sangat jarang kerana pada peringkat umur ini, panggilan seumpama ini dianggap kolot dan kekampungan.
Panggilan lain yang dilihat semakin menular dalam kalangan adik-beradik dalam sesebuah institusi keluarga pada masa kini adalah panggilan nama. Situasi ini sepatutnya tidak berlaku dan harus diatasi. Hal ini menyebakan generasi pada masa akan datang akan kehilangan sistem tradisi warisan nenek moyang mereka secara langsung. Selain itu penggunaan nama sebagai kata panggilan kedengaran tidak sopan, tidak hormat dan juga menggambarkan ikatan atau hubungan kekeluargaan yang semakin longgar yang tidak lagi mewarisi nilai-nilai tradisional.
Perbincangan mengenai perkaitan diantara umur dengan panggilan kepada adik-beradik dalam sesebuah keluarga Melayu telah mengalami perubahan. Sistem panggilan tradisional Melayu semakin dipinggirkan dan tidak mustahil bakal lupus ditelan zaman suatu hari nanti. Sistem tradisi yang sepatutnya diperturunkan turun temurun sebaliknya semakin ditenggelami dengan arus pemodenan dan disesuaikan dengan panggilan yang lebih ringkas dan terkini.
4.0 Pengaruh Lokasi Dalam Panggilan Kekeluargaan Melayu
Lokasi kediaman sesebuah keluarga turut dilihat sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi panggilan kekeluargaan. Hal ini merujuk kepada lokasi kediaman di bandar ataupun di luar bandar. Aspek ini akan banyak menyentuh dan memberikan contoh panggilan yang sering digunakan oleh sesebuah keluarga untuk membahasakan kata panggilan bagi ibu saudara dan bapa saudara.
4.1 Lokasi Luar Bandar
Panggilan tradisi bagi bapa dan ibu saudara yang sepatutnya adalah berdasarkan dua pola iaitu panggilan yang digunakan untuk menunjukkan urutan seperti panggilan Long, Ngah, Teh dan Usu. Panggilan ini akan disertai dengan penanda jantina contohnya Pak atau Ayah bagi bapa saudara dan Mak bagi ibu saudara. Panggilan-pangillan ini semuanya merujuk kepada orang yang lebih tua tetapi masih mempunyai pertalian saudara dengan si pemanggil . Sebagai contoh, panggilan adalah Pak Usu dan Mak Usu yang digunakan oleh pemanggil untuk memanggil ibu saudara dan bapa saudaranya yang bongsu.
Selain itu terdapat juga panggilan yang dikategorikan sebagai panggilan keluarga yang ditambah dengan nama seseorang itu. Panggilan ini akan memepunyai penanda jantina seperti Pak, Ayahatau Mak sebagai tanda perhubungan dan diikuti oleh nama orang yang disapa. Contohnya Pak Halim, Mak Nah dan Ayah Husin.
Panggilan tradisi Melayu ini sepatutnya didapati atau boleh didengari pengaplikasiannya dalam kalangan keluarga Melayu. Walau bagaimanapun, situasi yang berlaku pada masa kini memperlihatkan bahawa wujud pengaruh lokasi dengan penggunaan kata panggilan yang digunakan. Kajian Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005) membuktikan bahawa responden luar bandar menunjukkan penggunaan kata panggilan keluarga yang lebih tinggi berbanding dengan lokasi kediaman di bandar. Keadaan ini mentafsirkan bahawa responden yang tinggal di luar bandar adalah lebih kukuh dan utuh mengekalkan panggilan tradisional Melayu dalam sistem panggilan kekeluargaan Mereka.
Faktor yang dilihat menjadi penyumbang kepada situasi panggilan yang kekal ini adalah kedudukan rumah ahli-ahli keluarga sesebuah keluarga tersebut adalah tinggal berhampiran di dalam kampung yang sama. Hal ini memudahkan mereka mereka saling berhubungan dengan erat antara satu sama lain. Selain itu, keluarga mereka juga yang sering mengunjungi antara satu sama lain membolehkan mereka terus mempraktikkan panggilan keluarga tradisi apabila berinteraksi atau berkomunikasi dengan ibu saudara atau pun bapa saudara mereka. Nik Safiah Karim (1992) menyatakan,
dalam masyarakat desa, umur merupakan satu faktor penting... orang lebih tua sentiasa dianggap ‘lebih tinggi’ dan diberi bentuk bahasa halus oleh orang yang lebih muda. Orang tua pula berhak memberikan bahasa kasar kepada yang lebih muda.’
Hal ini bermaksud, orang yang lebih tua adalah berhak menegur, menasihati dan memarahi orang yang lebih muda di desa, manakala orang muda pula wajar menghormati kata-kata dan nasihat yang diberikan oleh orang yang lebih tua.
4.2 Lokasi Bandar
Keadaan di bandar pula adalah jauh berbeza. Walaupun pada dasarnya mereka tahu akan sistem panggilan yang betul untuk berkomunikasi dengan ibu saudara atau pun bapa saudara mereka,mereka jarang ataupun sama sekali tidak dapat mengaplikasikan panggilan tersebut sepenuhnya. Keadaan ini disebabkan oleh faktor tempat tinggal diantara ahli keluarga mereka yang berjauhan diantara satu sama lain, malahan ada dalam kalangan mereka yang saling tidak kenal akan keluarga mereka sendiri jika tidak diperkenalkan. Secara langsung hal ini menjadikan hubungan dalam kalangan mereka menjadi terlalu terbatas dan jika sudah kenal pun mereka ( lebih kepada anak-anak responden) tidak tahu membahasakan ibu saudara atau bapa saudara mereka dengan panggilan yang sepatutnya. Lebih jelas lagi, mereka tidak tahu untuk menggunakan sistem panggilan mengikut urutan bagi memanggil ibu dan bapa saudara mereka dengan betul.
Walaupun masih terdapat dalam kalangan masyarakat atau responden yang mengamalkan panggilan tradisi dengan betul, kekerapan yang diperoleh dalam kajian Nor Hasimah Jalaludin …[et al.] (2005) adalah lebih rendah berbanding dengan penggunaan oleh masyarakat yang tinggal di lokasi luar bandar. Responden juga hanya memanggil ibu dan bapa saudara mereka dengan panggilan neutral iaitu Pak Cik atau Mak Cik. Situasi ini menunjukkan bahawa hubungan diantara mereka adalah longgar.
Pelbagai perubahan berlaku dalam keluarga Melayu pada masa kini. Nik Safiah Karim (1992) menyatakan bahawa:
‘ Kesan dan tempo perubahan-perubahan ini tidak sama bagi semua golongan masyarakat. Masih ada masyarakat di kampung-kampung yang mengekalkan ciri-ciri tradisional dan sedikit benar yang dipengaruhi oleh proses pembaratan. Sebaliknya ada juga komuniti-komuniti Melayu bandar yang kompleks dan yang hidup yang berdasarkan aktiviti-aktiviti perindustrian.’
Kelonggaran yang berlaku dalam keluarga yang tinggal dibandar yang dikatakan telah mengalami perubahan kepada bentuk yang lebih neutral tidak hanya terhad kepada panggilan kepada ibu dan bapa saudara sahaja. Kajian Nor Hasimah (2002), mendapati bahawa, panggilan adik-beradik dalam sesebuah keluarga turut sama mengalami perubahan menjadi lebih neutral iaitu Abang, Kakak atau Nama berbanding dengan penggunaan kata panggilan tradisi sepertiKak Long/Bang Long atau Kak Ngah dan sebagainya.
Perubahan yang berlaku seolah-olah menyatakan bahawa panggilan tradisi orang Melayu semakin diketepikan dan dilupakan seiring dengan peredaran zaman. Namun demikian, situasi ini tidak bermaksud orang yang tinggal di bandar telah hilang ciri-ciri hormat dan sopan kepada golongan yang lebih tua. Ciri-ciri tersebut masih kekal sebagai warisan dan amalan , namun cara penyampaiannya dipermudahkan. Dengan amalan seumpama ini, masyarakat telah kehilangan banyak fakta dan maklumat penting akibat berubahan yang dilakukan. Sebagai contoh, Asmah (1993) menjelaskan fungsi panggilan tradisi bagi membezakan urutan kelahiran bagi adik beradik. Menurut beliau lagi, panggilan Long menggambarkan anak yang di lahirkan sulung, anak yang kedua akan dipanggil Ngah, anak yang ketiga dipanggil Lang, anak yang keempat dipanggil Anjang, anak sebelum yangterakhir dipanggil Cik dan yang bongsu dipanggil Busu atauSu.
Situasi ini banyak disokong oleh kehidupan masyarakat bandar yang mengamalkan sistem yang lebih ringkas contohnya pasangan yang memilih untuk memiliki hanya dua orang anak sahaja. Sudah tentulah panggilan yang akan digunakan hanya dua iaitu Abang dan Adik ataupun Kakakdan Adik. Tuntutan kerjaya dan masa untuk mendapatkan lebih banyak harta menjadikan masyarakat bandar semikin hilang nilai-nilai tradisinya. Mereka mulai mengutamakan segala sesuatu yang ringkas dan mudah dalam semua hal termasuk dalam sistem panggilan contohnya penggunaan panggilan Auntie dan Uncle.
Sehubungan dengan itu, panggilan kepada bentuk umum dan mudah bukan sahaja dicetuskan oleh fenomena kehidupan bandar yang mudah dan ringkas tetapi juga disebabkan oleh sikap ibu bapa itu sendiri yang memandang ringan tentang kepentingan sistem panggilan. Fenomena ini perlu ditangani dengan cara yang sewajarnya demi kepentingan generasi akan datang.
5.0 Kesimpulan
Umumnya, orang Melayu mempunyai cara tersendiri untuk memanggil ahli keluarga mereka semasa berkomunikasi. Kepelbagaian cara panggilan yang digunakan seperti kata panggilan umum, nama, urutan panggilan tradisi dan sebagainya merupakan antara cara yang digunakan untuk menyapa seseorang. Walau bagaimanapun tidak dinafikan telah wujud pertambahan kata panggilan keluarga berikutan pengaruh yang diterima daripada Barat dan Arab.
Walaupun demikian setiap panggilan yang digunakan tersebut masih menonjolkan tujuan yang sama iaitu untuk menghormati orang yang disapa dari aspek kedudukan dan umurnya. Di samping itu, sistem panggilan tradisi yang diamalkan oleh orang Melayu sebenarnya cuba menyampaikan susr galur keluarga kepada generasi baru agar tidak dilupakan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu unutk terus mengekalkan panggilan tradisi tersebut bagi mengelakkan ianya pupus dan dilupakan.
6.0 Bibliografi
Asmah Haji Omar (1977). Kepelbagaian Fonologi Dialek-dialek Melayu. Dewan bahasa
dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Nik Safiah karim (1992). Bahasa Malaysia Syntax: Some Aspects of Its Standardization.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Hasimah Jalaludin, Harishon Radzi, Maslida Yusof, Raja Masitah Raja Ariffin
Sa’adiah Ma’alif (2005). Sistem Panggilan dalam Keluarga Melayu.Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia.
Yaacob Harljn (2007). Masyarakat Melayu Dan Pengaruh Barat:Perubahan Dan
Konflik Nilai. Diperoleh pada 15 September 2010 daripada http://members.multimania.co.uk/nabirz/soc11.htm
Abdullah Hassan (2000). Unsur Budaya dalam Komunikasi diperoleh pada 24
September 2010 daripadahttp://sosiolinguistik.blogspot.com/2007/08/15-unsur-budaya-dalam-komunikasi.html

0 comments:

Post a Comment

 
blog ini diedit oleh fiezah91